Tumpuan :
Jenayah

Cubaan seludup pokok durian, petai bernilai lebih RM2 juta gagal

FOTO: PGA

RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan kegiatan penyeludupan pokok hiasan dan pokok durian serta petai dari Thailand membabitkan nilai lebih RM2 juta menerusi dua rampasan di sini, semalam dan tengah malam tadi.

Rampasan pertama jam 9 pagi semalam di Batu Karang sebelum rampasan kedua jam 12.20 tengah malam tadi di hadapan Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) Rantau Panjang.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata serbuan pertama dilakukan selepas pihaknya menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 1,500 anak pokok pelbagai buah-buahan seperti durian Monthong, dokong dan petai dipercayai diseludup dari Thailand ditemui di dalam lori terbabit.

“Tanaman ini disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit. Suspek seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup tanaman itu ke pasaran tempatan.

“Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM800,000 dan kes disiasat dibawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5. Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, rampasan kedua membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun selepas menahan lori yang dipandunya.

“Pemeriksaan dalam lori berkenaan terdapat lebih 2,000 anak pokok bunga pelbagai jenis antaranya jenis Willow, Lavender, Texas Sage, Oleander dan lain-lain lagi dipercayai diseludup dari Thailand.

“Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM1.25 juta termasuk kenderaan dan kes disiasat dibawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini