Tumpuan :
Jenayah

Cubaan seludup minyak masak, gula bersubsidi gagal

Sebanyak 374kg minyak masak gula pasir kasar ditemukan dalam kereta.- Foto ihsan KPDN

TUMPAT: Seorang lelaki ditahan bersama muatan minyak masak bersubsidi dan gula pasir kasar dalam kenderaannya disyaki dalam perjalanan ke pangkalan haram untuk diseludup.

Kenderaan lelaki berusia 33 tahun itu diekori bermula dari Bachok sebelum ditahan di Kampung Pasir Puteh, Chabang Empat di sini, pada 7.30 pagi semalam.

Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, lelaki itu dipercayai mendapatkan barang kawalan bersubsidi terbabit dari pembekal di Bachok dan terus ke sempadan negara di Pengkalan Kubor untuk dibawa masuk ke Thailand.

“Operasi dijalankan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.

“Pemeriksaan dalam kereta dipandu lelaki itu menemui 374 kilogram (kg) minyak masak dan 264 kg gula pasir kasar dengan anggaran nilai RM6,845.80,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azman berkata, daripada soal siasat yang dibuat, suspek sudah lama menjalankan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi ini namun berhenti seketika kerana kekurangan modal sebelum memulakan semula kegiatan berkenaan.

Menurutnya, suspek juga mengaku menagih dadah dan turut ditemukan beberapa bahan kes dalam kenderaan terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

“KPDN menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan terus dipergiat bagi membanteras aktiviti penyeludupan yang memberi kesan negatif kepada negara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini