Oleh: Selwam Arjunan
PADANG BESAR: Cubaan menyeludup dadah di sempadan Malaysia-Thailand digagalkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi tengah malam semalam.
Rampasan itu melibatkan ganja mampat seberat 8 kilogram dengan nilai anggaran RM400,000.
Menurut Komander Briged Utara PGA, SAC Shahrum Hashim, dadah tersebut ditemukan di kawasan Jalan Keselamatan Sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Katanya, pasukan risikan yang bertugas di Pos TS13 mengesan cahaya lampu suluh di kawasan tembok sempadan sebelum ternampak kelibat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika anggota mendekati kawasan itu dan memberikan amaran dengan jeritan ‘polis’, kedua-dua suspek segera melarikan diri ke arah kawasan Thailand.
Pemeriksaan lanjut menemukan sebuah beg galas yang ditinggalkan di lokasi,” katanya dalam sidang media di Pos PGA Briged Utara, di sini.
Hasil pemeriksaan ke atas beg tersebut menemukan sembilan ketulan mampat ganja, pakaian termasuk kain pelikat, yang dipercayai sebahagian daripada modus operandi baharu penyeludup yang menukar pakaian setelah berjaya masuk ke negara ini.
PGA percaya suspek menggunakan laluan pagar konkrit berkawad duri yang telah dipotong untuk menyusup masuk ke Malaysia.
Risikan awal mendapati dadah itu dipercayai untuk pasaran di Perlis dan kawasan sekitarnya.
PGA kini sedang mengumpulkan maklumat dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk mengenal pasti suspek yang terlibat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Setakat ini, empat rampasan dadah telah direkodkan di Perlis sepanjang tahun 2024, melibatkan nilai keseluruhan RM455,900 dan penahanan empat suspek lelaki.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.