comscore
Tumpuan :
Jenayah

Remaja 17 tahun ditahan seleweng petrol, diesel bersubsidi

PADANG BESAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)  merampas 1,150 liter petrol dan diesel bersubsidi bernilai RM13,457.50 yang diseleweng, dalam dua serbuan di sebuah kawasan tanah lapang, Jalan Wang Kelian, di sini .

Pengarah KPDN Negeri Perlis, Norazah Jaapar  berkata, menerusi Op Tiris semalam,  remaja berusia 17 tahun turut ditahan .

“Suspek mengaku sebagai pengambil upah bagi kegiatan penyelewengan diesel ditahan bagi membantu siasatan.

“Dalam serbuan di lokasi pertama, kita mendapati terdapat sebuah kereta sedang menyedut keluar bahan api disyaki diesel dari tangki tambahan kereta itu menggunakan pam penyedut minyak beserta hos masuk ke dalam tong drum,” katanya.

Norazah berkata, dalam serbuan di lokasi kedua, pihaknya menemui sejumlah petrol dianggarkan  150 liter di dalam tong drum bersama peralatan lain.

“Bagaimanapun kita tidak menjumpai sebarang individu di lokasi terbabit dan sebuah kereta yang mempunyai tangki tambahan turut dijumpai di lokasi berkenaan,” katanya.

Modus operandi bagi kes ini adalah kenderaan tempatan akan membeli diesel dan petrol di beberapa   stesen minyak di negeri ini.

“Bahan api itu kemudian dibawa masuk ke kedua-dua lokasi serbuan berkenaan untuk dijual kepada kenderaan berpendaftaran Thailand.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dimana jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua- duanya  .

“Manakala bagi syarikat pula, boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000,” katanya.

Loading...
Terkini