Oleh: Salina Zakaria
KUALA LUMPUR: Dua lelaki berjaya ditahan Polis Kuala Lumpur pada cubaan samun kedai emas di Jalan 7/62A Bandar Manjalara, Kepong, pada 4 september lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata suspek berusia 42 dan 43 tahun itu ditahan empat anggota polis yang ketika itu membuat rondaan berdekatan lokasi kejadian.
Tambahnya hasil pemeriksaan ketika kejadian pada jam 8.54 malam, polis turut menemui dua pistol dan beberapa peluru hidup dalam kereta dinaiki suspek jenis Proton Wira.
“Hasil pemeriksaan dilakukan di dalam kereta itu menemui dua pistol dan beberapa peluru hidup di dalam kenderaan itu,” katanya bercakap kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, IPK Kuala Lumpur, siang tadi.
“Kami turut menemui lapan peluru di dalam poket seluar salah seorang suspek berkenaan, manakala 10 peluru lagi ditemui dalam gengaman seorang lagi suspek, katanya lagi.
Jelasnya pada awal kejadian kedua-dua suspek dalam perancangan untuk merompak sebuah kedai emas di kawasan berhampiran, namun tidak berjaya apabila cubaan itu digagalkan pihak polis.
Siasatan lanjut dan serbuan di sebuah kediaman di jalan klang lama pada jam 1.15 pagi turut membawa penahanan dalang rompakan iaitu lelaki berusia 47 tahun.
Pemeriksaan di rumah terbabit turut menemui wang tunai berjumlah RM129,300 dan 39 paket barang kemas bernilai RM175,000.
Dalang yang ditahan turut mempunyai lima rekod jenayah dengan tiga kesalahan membabitkan akta senjata api, penalti lebih berat 1971.
Suspek kedua yang ditahan di Bandar Manjalara pula mempunyai satu rekod jenayah.
Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 11 september.
Kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api, (Penalti Lebih Berat 1971) dan Seksyen 8(a), Akta Senjata Api 1970.
Polis juga sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kes ini, termasuk mengenal pasti pembabitan kes jenayah dilakukan kesemua suspek berkenaan serta dari mana mereka memperoleh senjata api itu.
“Kami amat berbangga dengan kejayaan empat anggota polis berkenaan yang berjaya mematahkan cubaan samun itu dan mengesyorkan kepada pucuk pimpinan supaya mereka diberi ganjaran atas tangkapan dan rampasan berkenaan,” katanya lagi.