KUALA LUMPUR: Cubaan Geng Man Janggut menyeludup keluar pendatang asing tanpa izin (Pati) melalui laut di perairan Kuala Selangor dekat sini, gagal selepas 22 warga Indonesia ditahan polis awal pagi hari ini.
Kegiatan itu dikesan menerusi Op Pintas Som yang dilaksanakan Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran /Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada 5.30 pagi di kawasan perairan pantai Kuala Selangor, Selangor.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, fokus operasi itu adalah berkaitan elemen kesalahan penyeludupan migran yang dipercayai keluar atau masuk dari Malaysia ke Indonesia dan dari Indonesia ke Malaysia melalui jalan air yang tidak diwartakan iaitu jalan laut di perairan Kuala Selangor.
Menurutnya, hasil serbuan yang dijalankan berjaya membawa kepada tangkapan ke seramai 16 lelaki dan enam wanita Indonesia berusia 22 hingga 49 tahun.
“Daripada tangkapan itu, seorang daripada mereka iaitu lelaki berusia 26 tahun ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Atipsom 2007.
“Tiga lagi lelaki dari Indonesia itu yang berperanan sebagai transporter dan seorang lelaki warga Indonesia dipercayai pembantu transporter ditahan mengikut Seksyen 26J Akta Atipsom 2007.
“Sementara itu, tiga lelaki dan empat wanita warga Indonesia pula ditahan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, modus Operandi sindiket menggunakan kawasan-kawasan kebun sawit atau paya yang berhampiran dengan pantai agar memudahkan pergerakan mereka ke bot utama yang akan membawa migran ke destinasi yang dituju.
“Hasil soal siasat awal terhadap migran, bayaran yang dikenakan untuk masuk atau keluar ke Malaysia adalah sebanyak RM1,800 hingga RM3,000,” katanya.
“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.