comscore
Tumpuan :
Jenayah

Cubaan culik murid darjah lima di Kuala Pilah palsu

Foto hiasan

SEREMBAN: Dakwaan cubaan menculik seorang murid darjah lima berhampiran sebuah sekolah di Kuala Pilah seperti yang tular di laman sosial hari ini adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata siasatan lanjut pihaknya selepas menerima laporan daripada keluarga murid berkenaan pada 4.25 petang semalam, mendapati kejadian itu tidak benar.

“Ketika siasatan terhadap kanak-kanak tersebut, dia mengatakan dihampiri oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dengan pakaian serba hitam memandu kenderaan pelbagai guna (MPV). Dia juga mendakwa turut dipegang individu berkenaan sebelum berjaya melarikan diri.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati kanak-kanak lelaki tersebut mereka cerita tentang kejadian itu berikutan takut dimarahi bapanya kerana pulang berjalan kaki seorang diri ke pekan Kuala Pilah tanpa pengetahuan bapanya,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Sehubungan itu, Amran menasihati masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan tidak benar di laman sosial yang boleh menyebabkan kegusaran atau mengganggu ketenteraman awam.

Terdahulu, tular satu catatan di laman sosial mengenai kejadian seorang pelajar sekolah rendah dikatakan cuba dibawa lari oleh individu tidak dikenali di hadapan pondok hentian bas berdekatan sebuah sekolah. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini