BACHOK: Pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan dua lelaki yang menjadi penghantar minyak diesel dipercayai untuk diseludup ke negara jiran dengan upah RM10 bagi setiap tong di Kampung Baru Hujung, Repek, di sini.
Lelaki terbabit masing-masing berusia 19 dan 33 tahun itu ditahan kelmarin bersama 1,450 liter minyak diesel dengan rampasan bernilai keseluruhan RM13,000 termasuk dua kereta.
Pengarahnya KPDN negeri, Azman Ismail, berkata pihaknya mengekori kereta jenis Proton Iswara Aeroback dan Proton Saga Aeroback yang berjalan serentak dalam keadaan mencurigakan membawa muatan barangan kawalan itu.
“Kereta pertama berjaya ditahan pada jam 8 malam di Kampung Melawi, Bachok dan kereta kedua ditahan 15 minit kemudian selepas mendapat bantuan peronda MPV Pauh Lima, Bachok.
“Kita berjaya menemui 25 tong minyak diesel pada kenderaan pertama dan 30 tong di kereta kedua dengan setiap tong seberat 25 hingga 30 liter dengan nilai RM3,117.50,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, hasil soal siasat, kedua-dua suspek yang berasal dari Tumpat, mengaku menerima RM10 untuk satu tong sebagai bayaran upah untuk mengambil minyak diesel di tempat transit di sempadan negeri sebelum membawanya ke Tumpat dan dijual ke negara jiran.
Katanya, tindakan itu juga menunjukkan modus operandi baharu penyeludupan yang sebelum ini mengisi diesel secara terus di stesen minyak kurang 50 kilometer dari sempadan negara.
“Kali ini mereka sanggup meredah lebih 100 kilometer dengan membuat tempat transit untuk mengisi minyak di sesuatu kawasan sebelum membawanya ke sempadan negara,” katanya.
Beliau berkata, tindakan itu diambil berikutan kejayaan KPDN menyekat ketirisan minyak diesel ke luar dengan kerap membuat rondaan di sekitar stesen minyak.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.