PADANG BESAR: Gerak-geri sebuah kereta Nissan Sylphy yang berlegar di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kilang Gula, Chuping, di sini ternyata menimbulkan curiga kepada anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan itu pada Sabtu lalu.
Polis yang kemudian bertindak menahan kereta itu berjaya membongkar cubaan menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini dengan memberkas empat warga Myanmar termasuk pasangan suami dan isteri yang menjadi tekong darat dalam penyeludupan migran berkenaan.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, kejadian berlaku sekitar jam lebih kurang 2.20 pagi pada 12 Oktober lalu apabila sepasukan polis dari Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) dan PGA Batalion 2 Kulim menahan sebuah kereta Nissan Sylphy berwarna perak di kawasan itu.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, PGA yang sedang bertugas kemudian ternampak kereta berkenaan sedang berada di kawasan Kilang Gula, Chuping dan bertindak menahan kereta itu dan ketika diperiksa, anggota PGA mendapati terdapat empat individu warga Myanmar termasuk dua wanita berusia antara 18 hingga 30 tahun berada dalam kereta itu.
“Semasa pemeriksan dibuat ke atas kesemua migran berkenaan, kita mendapati dapati dua daripada warga Myanmar itu adalah pasangan suami isteri berusia 28 dan 30 tahun serta mempunyai pasport dan suaminya pula didapati memandu kereta itu.
“Satu lagi pasangan pula tidak mampunyai sebarang hubungan dan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika memasuki negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati bahawa, pasangan suami isteri itu bertindak sebagai tekong darat dimana suami adalah pemandu kereta itu.
“Pasangan suami isteri itu ditugaskan untuk mengambil Pati yang terdiri daripada raka senegara mereka untuk di hantar ke negeri Kedah dimana pasangan terbabit menerima bayaran upah sekitar RM500 bagi setiap individu,” katanya.
Beliau berkata, kesemua tangkapan dan rampasan ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan lanjut.
“Suspek suami isteri yang bertindak sebagai tekong itu ditahan reman selama 28 hari mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga 8 November hadapan.
Mohd Shokri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.