Tumpuan :
Jenayah

Cuba seludup keluar lebih 83 kg dadah ke Indonesia, polis tahan 6 anggota sindiket

Foto: NSTP

MELAKA: Cubaan seludup keluar lebih 83 kilogram (kg) dadah syabu dan pil ekstasi ke Indonesia oleh sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah antarabangsa, digagalkan menerusi serbuan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pasukan Tindakan Khas.

Serbuan hasil risikan dan pemantauan itu dilakukan di sekitar Melaka, Johor dan Pahang itu membabitkan tangkapan enam anggota sindiket, termasuk seorang warga China bertaraf permastautin tetap.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, serbuan pertama dilakukan terhadap kereta Toyota Vios dan Toyota Camry di kawasan Kota Syahbandar di sini, sebelum polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu, polis merampas syabu seberat 52 kg syabu dan serbuk ekstasi (31.45 kg), keseluruhannya dianggarkan bernilai RM4.02 juta,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJN Bukit Aman, Datuk Zainudin Ahmad; Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah; Ketua Penolong Pengarah (Perhubungan/Risikan Antarabangsa) JSJN Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Mohd Rozi Jidin dan Timbalan Ketua Polis Melaka, SAC Md Nazri Zawawi serta Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit.

Menurut  Datuk Seri Mohd Kamarudin, polis kemudian melakukan serbuan kedua di Simpang Renggam, Johor dan menahan tiga lelaki tempatan berusia 39 hingga 57 tahun yang disyaki anggota sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah itu.

Katanya, dua lagi suspek berusia 68 yang juga disyaki dalang utama sindiket dan rakannya berusia 74 tahun ditangkap dalam serbuan ketiga di Genting Highland, Pahang.

“Modus operandi sindiket adalah menggunakan jalan darat bagi menyeludup masuk dadah dari negara jiran (Thailand) sebelum dihantar melalui jalan laut ke Dumai, Indonesia melalui Pantai Klebang, di sini.

“Mereka ini seludup dadah dari negara jiran menggunakan kenderaan persendirian dan ditinggalkan di satu lokasi sebelum diambil oleh ahli sindiket lain.

“Kita percaya sindiket ini mula aktif sejak pertengahan 2023 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya sambil memaklumkan dadah dirampas itu dianggarkan boleh digunakan oleh 365,000 penagih dadah.

Rampasan dadah ini adalah yang terbesar setakat ini bagi kontinjen Melaka dengan nilai keseluruhan termasuk sitaan berjumlah RM4.13 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini