Tumpuan :
Jenayah

Cuba seludup hasil pertanian dalam beg pakaian

Antara hasil pertanian yang cuba diseludup dalam beg pakaian dari negara jiran. FOTO: Ihsan MAQIS

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Melaka menggagalkan cubaan menyeludup masuk pelbagai hasil pertanian yang disorok dalam beg pakaian dari negara jiran di sini semalam.

Rampasan dilakukan daripada individu yang memasuki negara ini melalui Terminal Feri Antarabangsa, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Muara Sungai Melaka dari Dumai dan Bengkalis, Indonesia.

Pengarah MAQIS negeri, Nora Dinah Abdul Rahman berkata, tindakan itu terbongkar hasil pemeriksaan penguat kuasa MAQIS ke atas beg pakaian yang dibawa individu terbabit sebelum menemui barangan pertanian seperti cili segar dan buah limau.

“Semua barangan itu disembunyikan dalam bagasi pakaian yang diisi dalam beg plastik sebelum dikesan Pegawai Penguat Kuasa MAQIS.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama dengan Kastam Diraja Malaysia atas kesalahan cubaan membawa masuk barangan pertanian tanpa sebarang dokumen pengimportan seperti Permit Import MAQIS dan Sijil Fitosanitasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nora Dinah memberitahu, tindakan mengimport sebarang jenis keluaran hasilan pertanian tanpa permit import MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan.

Katanya, kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Kesalahan itu jelasnya, boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta y sama.

Jika disabitkan, ujarnya, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“MAQIS menasihatkan semua penumpang feri dari negara luar yang ingin membawa masuk produk pertanian perlu sentiasa mematuhi segala peraturan dan syarat yang ditetapkan,” katanya.

Pada 8 Februari lalu, MAQIS) Melaka menggagalkan cubaan menyeludup masuk pelbagai produk hasil pertanian dan haiwan dari negara jiran yang disorok dalam pakaian semalam.

Perbuatan itu dikesan daripada 10 individu yang masuk ke negara ini melalui terminal sama.

Loading...
Terkini