ALOR GAJAH: Dua suspek yang cuba melarikan diri daripada polis dengan menaiki kereta Toyota Vios terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda akibat melawan arus di persimpangan lampu isyarat Jalan Pengkalan, di sini, hari ini.
Anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) mengejar kereta suspek lebih 21 kilometer (KM) dari Kampung Lapan, Bachang melalui Durian Tunggal hingga ke Jalan Pengkalan di sini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 9.10 pagi, membabitkan Toyota Vios dinaiki dua lelaki dengan Nissan Navara dipandu seorang pekebun sayur berusia 35 tahun.
Katanya, unit peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah turut membantu operasi berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati Toyota Vios dari arah Durian Tunggal menghala ke Alor Gajah.
“Sebaik sampai di persimpangan lampu isyarat Pengkalan tiba-tiba pemandu bertindak menyongsang arus hingga bertembung secara berdepan dengan Nissan Navara yang datang dari arah Alor Gajah.
“Kemalangan itu menyebabkan pemandu dan penumpang berusia 45 dan 20 tahun yang juga penganggur patah dan cedera kaki kanan serta dirawat di Hospital Alor Gajah.
“Pemandu pacuan empat roda itu bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Ashari berkata, kedua-dua lelaki berkenaan yang beralamat di Pantai Dalam, Kuala Lumpur dan Bandar Baru Selayang, Selangor sedang dirawat dan akan ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kes ini pada asalnya membabitkan Toyota Vios dikejar URB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
“Suspek melarikan diri dari Kampung Lapan masuk ke Durian Tunggal dan sampai ke tempat kejadian di persimpangan lampu isyarat Pengkalan di sini.
“Hasil pemeriksaan di dalam kereta polis turut menjumpai sejumlah dadah dan alatan pecah rumah dan disyaki suspek adalah penjenayah.
“Bagaimanapun kes akan diserah untuk siasatan kepada IPD Melaka Tengah,” katanya kepada media, hari ini.
Ashari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai hingga mengakibatkan kemalangan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.