comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] CEO syarikat konsesi lebuh raya antara 8 direman, disyaki rasuah lebih RM1.6 bilion

 


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat konsesi lebuh raya bergelar Datuk antara lapan individu ditahan reman kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah lebih RM1.6 bilion membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menahan reman dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi tersebut bagi kes sama.

CEO bersama dua pengurusan tertinggi syarikat berkenaan direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat ini.

Manakala, lima lagi individu iaitu pemilik syarikat pula direman selama tiga hari sehingga Khamis ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini hari ini.

Menurut sumber, tiga suspek daripada syarikat konsesi tersebut membabitkan dua lelaki dan seorang wanita, manakala pemilik syarikat itu pula membabitkan lima lelaki yang kesemua berusia sekitar 40 hingga 50-an ditahan dalam Ops Lintas antara jam 8 hingga 11 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Tiga suspek yang berkhidmat di syarikat konsesi lebuh raya ini disyaki telah meminta dan menerima rasuah daripada pemilik-pemilik syarikat berkenaan sebagai balasan bagi mendapat kontrak mengambil alih kerja-kerja pembinaan yang sebelum ini dijalankan satu syarikat lain bernilai lebih RM1 bilion.

“Selain itu, mereka juga dipercayai telah meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan satu seksyen projek lebuh raya lain di Lembah Klang yang bernilai lebih kurang RM670 juta. Keseluruhan nilai kedua-dua projek itu adalah berjumlah RM11 bilion,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaha mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini