Tumpuan :
Jenayah

Cemburu teman wanita diganggu, remaja bunuh dan buang mayat rakan dalam parit 

Mayat lelaki ditemui di dalam parit. FOTO ihsan Polis

BAGAN DATUK: Seorang remaja lelaki bawah umur ditahan selepas disyaki membunuh rakannya gara-gara mangsa mengganggu teman wanitanya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata suspek berusia 17 tahun itu ditahan dalam serbuan di Hutan Melintang, kelmarin.

Menurutnya, hasil soal siasat, suspek dipercayai membunuh mangsa berusia 21 tahun pada 20 Ogos lalu sebelum membuang mayatnya di sebuah parit dekat Jalan Pasir Kampung Sungai Payung Baroh, Rungkup, di sini.

“Identiti mangsa sudah kita kenal pasti. Suspek dan mangsa adalah kawan dan jiran yang tinggal di sebuah taman perumahan di Teluk Intan.

“Punca bunuh disebabkan suspek berasa cemburu kepada si mati kerana mengganggu teman wanitanya yang berusia 20 tahun.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 1 September depan bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Adnan turut menafikan mesej berantai yang tular di aplikasi WhatsApp yang mendakwa terdapat dua mangsa bunuh.

Katanya, berdasarkan siasatan pihak polis, hanya satu sahaja mayat mangsa bunuh ditemukan dalam kes terbabit.

Pada 24 Ogos lalu, satu mayat tanpa identiti yang sudah mereput ditemukan di dalam parit ladang kelapa sawit di Rungkup, di sini, dengan kesan kelar di leher serta luka di bahagian tangan dan kaki mangsa.

Loading...
Terkini