
MELAKA: Polis mengesyaki cemburu sebagai motif seorang wanita penyanyi sambilan maut dibunuh di sebuah rumah di Taman Seri Mangga Seksyen 1, Malim, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, terdahulu polis menerima aduan awam jam 12.31 tengah hari berhubung penemuan seorang wanita dalam keadaan terbaring berlumuran darah di dalam rumah berkenaan.
Beliau berkata, hasil siasatan awal dan soal tanya terhadap saksi memaklumkan terdengar pertengkaran antara mangsa dengan seorang lelaki di dalam bilik mereka pagi Jumaat lalu, namun tidak mengesyaki apa-apa.
Katanya, saksi yang juga rakan serumah bagaimanapun bertindak mengetuk dan membuka pintu bilik rakan serumahnya itu sebelum mendapati mangsa terbaring di atas katil dalam keadaan berlumuran darah.
“Turut berada di dalam bilik itu adalah seorang lelaki yang ditahan kerana disyaki terbabit kejadian itu, juga dalam keadaan berbaring dan cedera.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku berpunca daripada salah faham antara mangsa dengan suspek berusia 54 tahun itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Christopher berkata, hasil siasatan suspek disyaki cuba membunuh diri selepas kejadian dan dia kini ditahan reman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.
Selain itu katanya, polis turut merampas dua pisau disyaki digunakan dalam kejadian itu di tempat kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan V Somsundram di talian 06-2842222,” katanya.
Prosiding reman terhadap suspek dibuat di Hospital Melaka berikutan dia masih menjalani rawatan akibat kecederaan dialami.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.