Tumpuan :
Jenayah

Cemburu buta dipercayai punca remaja Myanmar dibunuh di Klang

KLANG: Cemburu buta dipercayai menjadi punca seorang remaja lelaki warga Myanmar dibunuh kejam dengan lebih 20 kesan tikaman di hampir seluruh badan, termasuk leher, Ahad lalu.

Mangsa berusia 16 tahun ditemui maut di belakang sebuah pasar raya di Taman Klang Utama, di sini, dalam kejadian sekitar jam 11 malam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata polis menerima maklumat berhubung insiden terbabit kira-kira jam 12.30 tengah malam kelmarin, dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Susulan itu, beliau berkata, polis menahan lima lelaki warga Myanmar berusia 25 hingga 40 tahun di sekitar Klang pada tengah malam hari sama.

“Hasil semakan mendapati mangsa bekerja sebagai pekerja am di sebuah kedai runcit di lokasi berkenaan.

“Setakat ini, punca kejadian dipercayai akibat perasaan cemburu salah seorang suspek yang menyangka isterinya menjalinkan hubungan cinta dengan mangsa.

“Berdasarkan hasil semakan, wanita berusia 30-an itu turut bekerja di tempat sama dengan mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja, berikutan penemuan basikal yang digunakannya.

“Kesemua suspek dan mangsa memiliki dokumen pengenalan diri yang lengkap,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas telefon bimbit milik semua suspek terbabit dan usaha giat dilakukan untuk mengesan senjata digunakan dalam kejadian itu.

“Lima suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini