comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bunyi katak ‘isyarat’ untuk sindiket proses alkohol tiruan larikan diri

Oleh: Selwam Arjunan

BUTTERWORTH: Sindiket memproses minuman keras tiruan di Kampung Valdor, Sungai Jawi didapati menggunakan bunyi katak sebagai isyarat untuk melarikan diri daripada serbuan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, serbuan dapat merampas minuman keras tiruan bernilai lebih RM400,000 yang diproses sindiket berkenaan.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Pulau Pinang, Datuk Roselan Ramli berkata, pasukan penguatkuasa terpaksa melalui kawasan terpencil sebelum tiba ke tempat memproses minuman keras berkenaan.

“Kita mendapati satu-satunya laluan yang digunakan itu terdapat kolam ternakan katak yang mengeluarkan bunyi yang kuat apabila ada orang melintasi kawasan berkenaan.

“Memandangkan kawasan itu terpencil dan jarang ada orang lalu, anggota sindiket menyedari bunyi itu disebabkan oleh pihak berkuasa.

“Jadi mereka gunakan sumber alam sebagai bunyi isyarat dan bukannya CCTV atau teknologi baharu dan melarikan diri sebelum pasukan berkuasa sampai di tempat mereka,” katanya dalam sidang media, di sini, pagi tadi.

Hasil serbuan, pihaknya merampas 6,621 botol minuman keras jenis liquor bersamaan dengan 2,104 liter serta botol-botol kosong, penutup botol, pelekat pelbagai jenama, mesin “Glass Bottle Capping” dan segulung setem duti kastam palsu.

“Pasukan juga telah menjumpai sebuah tong air yang telah diubahsuai bagi aktiviti mengilang minuman keras tiruan ini.

“Kesemua minuman keras tidak berkastam ini dianggarkan bernilai RM73,654.35 melibatkan duti atau cukai berjumlah RM334,133.37.

“Kita juga percaya sebahagian minuman keras yang diproses telah memasuki pasaran dan kita meminta orang awam berhati-hati semasa melakukan pembelian,” katanya lagi.

Siasatan awal juga mendapati premis berkenaan tidak berlesen mengikut Seksyen 20(1) Kata Eksais 1976.

Kes disiasat mengikut Akta Eksais 1976.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini