BALING: Susulan kes seorang lelaki warga emas yang ditemui dengan kesan jerut di leher dan tangan serta kakinya diikat di sebuah rumah di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, polis menahan dua lelaki.
Kedua-dua suspek berusia 23 dan 25 tahun itu ditahan jam 3 pagi tadi di sekitar Kuala Ketil.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Sik, hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
Dalam kejadian semalam, seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan tangan dan kakinya diikat serta terdapat kesan jerut di leher.
Shamsudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam jam 3.21 petang semalam.
Kelibat dua lelaki hanya disedari menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah jiran mangsa ketika kedua suspek hendak keluar dari rumah berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.