comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Bunuh wanita warga emas atas motif cinta tidak berbalas, suspek lelaki akan didakwa esok 

Foto hiasan

PORT DICKSON: Seorang wanita warga emas yang ditemui tidak sedarkan diri dalam sebuah bilik di rumahnya pada 9 Mei lalu dipercayai dibunuh akibat cinta tidak berbalas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian pada 9 Mei, jam 12.30 tengah hari, polis menemui mangsa berusia 67 tahun tidak sedarkan diri dalam bilik di sebuah rumah di Batu 8 Jalan Pantai Teluk Kemang Port Dickson.

“Pembantu Perubatan Hospital Port Dickson mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian di sebuah bilik di rumahnya.

“Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pada 16 Mei lalu, sekitar jam 12.50 tengah malam, polis yang bertindak atas maklumat berjaya membuat tangkapan terhadap seorang lelaki yang disyaki terlibat dengan pembunuhan wanita malang itu.

“Suspek lelaki berbangsa Melayu berusia 45 tahun di tahan di sebuah rumah kampung di Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Kertas siasatan mati mengejut juga telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Hasil siasatan awal mendapati, motif pembunuhan disebabkan cinta tidak berbalas.

“Kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan dan sudah mendapat arahan pertuduhan di bawah Seksyen 302 KK dan suspek juga akan turut dituduh di bawah Seksyen 411 KK,” katanya.

Suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson esok.

Loading...
Terkini