TAWAU: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Allahyarham Mohamad Nazmie ‘dikeroyok’ di bilik asrama 5 belian Kolej Vokasional Lahad Datu, kira-kira 10 malam, 21 Mac lalu.
Perkara itu dimaklumkan saksi pendakwaan ke-12 (PW12) menerusi pernyataan saksinya yang mendakwa melihat 10 orang tertuduh ‘mengerumuni’ si mati ketika berada di bilik asrama kolej berkenaan.
Menjawab kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ng Juhn Tao semasa pemeriksaan utama, saksi yang juga penghuni bilik asrama 5 Belian itu memberitahu walaupun keadaan di dalam bilik ketika itu gelap, namun dia masih boleh melihat tertuduh pertama yang mula-mula memukul simati bersama-sama ‘kawan’ lain.
Ng Juhn Tao : Boleh beritahu kepada mahkamah, maksud ‘kawan’ tertuduh pertama yang ikut masuk campur tumbuk dan tendang Ijat (si mati) ?
PW12 : Tertuduh ketiga, keempat, kelima, keenam, kelapan, kesembilan, ke-10, ke-11 dan ke-13.
Ng Juhn Tao : Bagaimana pula dengan tertuduh ketujuh dan tertuduh ke-12?
PW12 : Tidak pasti
Ng Juhn Tao : Berdasarkan pernyataan saksi, kamu nampak kawan tertuduh pertama iaitu tertuduh ketiga, keempat, kelima, keenam, kelapan, kesembilan, ke-10, ke-11 dan ke-13 masuk campur ikut tumbuk ijat. Nampak bahagian mana mereka tumbuk dan tendang?
PW12: Tidak nampak bahagian mana sebab mereka terlalu ramai.
Ng Juhn Tao : Kamu cakap tidak nampak di bahagian mana ‘mereka’ (tertuduh pertama, ketiga, keempat, kelima, keenam, kelapan, kesembilan, ke-10, ke-11 dan ke-13) pukul si mati kerana terlalu ramai. Boleh beritahu kedudukan mereka masa itu?
PW12 : Mereka mengelilingi si mati yang dalam keadaan terbaring di lantai.
Terdahulu, saksi pendakwaan ke-11 turut memberitahu mahkamah mangsa hanya memakai tuala dalam keadaan menggigil dan kesejukan di bilik asrama 7 Belian, kira-kira jam 11 malam yang sama.
Saksi itu turut memaklumkan dia turut menyaksikan mangsa dalam keadaan lemah terbaring di atas tilam di hadapan pintu asrama kolej berkenaan sebelum membantu memakaikan selimut, baju dan stoking kepada mangsa.
Pada masa itu katanya, terdapat tanda lebam pada bahagian rusuk kiri Mohamad Nazmie selain telinga kirinya turut berwarna biru.
Prosiding yang memasuki hari ketujuh hari ini membabitkan seramai 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun yang dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lalu.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, dan Chen Wen Jye, sementara lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika termasuk peguam lantikan, Vivien Thien, Jhesseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Pendakwaan pula diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif, Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.
Perbicaraan dihadapkan Hakim Datuk Duncan Sikodol bersambung esok.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.