Tumpuan :
Jenayah

Bunuh isteri di bilik hotel: 12 individu sudah dirakam percakapan

BATU GAJAH: Polis sudah merakam percakapan 12 individu bagi membantu siasatan kes wanita yang maut akibat dibunuh suaminya dalam kejadian di bilik sebuah hotel di Jalan Pejabat Pos dekat pusat bandar Batu Gajah, di sini, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, ibu mangsa yang berusia 56 tahun adalah antara yang dirakam percakapan, selain beberapa individu lain termasuk dalam kalangan ahli keluarga lain mangsa.

Md Noor Aehawan dalam pada itu berkata, siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu ketika ini masih berjalan, dengan tidak menolak kemungkinan tempoh reman suspek berusia 37 tahun itu yang seharusnya berakhir Khamis ini, akan disambung lagi.

“Keterangan mereka sudah diambil dan buat masa ini siasatan lanjut masih dijalankan.

“Tempoh reman suspek mungkin akan disambung bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan. Sebaik sahaja kertas siasatan lengkap, kita akan serah kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tujuan pendakwaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Khamis lalu, media melaporkan Nisya Syahkila Shaharun, 32, maut akibat dibunuh suaminya dengan mayatnya dijumpai dengan beberapa kesan tikaman dalam bilik hotel di Batu Gajah.

Motif pembunuhan itu dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati apabila mangsa masih ingin meneruskan tuntutan perceraian secara fasakh walaupun sudah dipujuk suspek.

Kes itu mencuri tumpuan bahkan tular apabila suspek bukan sahaja membunuh isterinya, malah dia kemudiannya turut bertindak pergi sendiri ke Balai Polis Batu Gajah bagi menyerah diri selepas melakukan jenayah itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini