Oleh: Selwam Arjunan
ALOR SETAR: Mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dipercayai dibunuh bapa kandungnya ditemukan dengan kesan kelar, di Pantai Leman dekat Kuala Kedah, di sini, tengah hari tadi.
Timbalan Ketua Polis Kedah, DSP Adzli Abu Shah berkata, mayat ditemukan terdampar oleh orang awam di pantai kira-kira jam 12 tengah hari.
Katanya, keadaan fizikal kanak-kanak itu sempurna, namun terdapat kesan kelar pada leher.
Kesan kelar itu selari dengan kecederaan yang dialami mangsa dua beranak masing-masing berusia 34 dan 10 tahun yang ditemukan mati di lokasi berasingan semalam.
Mayat yang ditemui semalam dipercayai ibu dan kakak kepada mangsa kanak-kanak yang ditemukan hari ini.
Mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dipercayai dibunuh bapa kandungnya ditemukan dengan kesan kelar, di Pantai Leman dekat Kuala Kedah, tengah hari tadi. pic.twitter.com/3Vg24EPZxe
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) August 20, 2024
Mayat dua beranak semalam ditemukan juga dengan kesan kelar di leher dalam longkang belakang sebuah bangunan terbiar di Pekan Simpang Kuala, di sini.
Suspek iaitu lelaki berusia 43 tahun yang juga suami dan bapa mangsa, ditahan bersama seorang lagi anak lelakinya, 5, di Masjid Bukit Pinang malam semalam.
Perintah reman terhadap suspek selama seminggu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.
Suspek dan kesemua mangsa merupakan warga Rohingnya, berdasarkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
“Walau bagaimanapun kita sedang membuat pengesahan identiti mayat kanak-kanak terbabit, namun berdasarkan siasatan kita tidak menolak kemungkinan mangsa adalah anak bongsu suspek yang dibunuh pada Ahad lalu.
“Polis juga telah merampas sebilah parang yang dimiliki suspek ketika ditahan yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini serta dokumen pengenalan diri dua mangsa ditemukan.
“Berdasarkan siasatan kita percayai kesemua mangsa dibunuh pada hari Ahad dan suspek melarikan diri selepas dua mayat terbabit ditemui petang semalam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini, petang tadi.
Polis percaya mayat kanak-kanak itu dibuang oleh suspek ke dalam longkang di Jalan Pegawai kira-kira 2 kilometer dari lokasi kejadian sebelum dihanyut ke laut dan terdampar di pantai.
Jelasnya, sebelum ini keluarga berkenaan tinggal di bawah jambatan di Simpang Kuala sebelum berpindah ke bangunan kosong terbabit dan tinggal di situ selama lebih kurang seminggu.
“Ujian saringan air kencing suspek mendapati positif tiga jenis dadah iaitu ganja, ice dan morfin.
“Siasatan kita jalankan boleh merumuskan tidak ada keganasan pihak luar. Ianya lebih kepada keganasan domestik akibat perselisihan keluarga atau ketagihan dadah,” tambahnya lagi
Anak lelaki berusia lima tahun yang dijumpai selamat bersama suspek didapati mengalami trauma dan akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk rawatan fizikal dan mental.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Mayat dua wanita ditemukan dalam longkang
- Penemuan dua mayat perempuan: Dua beranak dibunuh leher dikelar, suami ditahan
- Kes bunuh 2 beranak: Warga asing ditahan reman seminggu