Oleh: Selwam Arjunan
ALOR SETAR: Polis mengesahkan mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dijumpai di tepi pantai semalam, merupakan anak bongsu suspek yang disyaki membunuh isteri dan anak perempuannya, di sini, Ahad lalu.
Tiga beranak terbabit yang dibunuh dan ditemui di dua lokasi berasingan pada Isnin dan semalam juga didapati mati akibat dikelar pada leher.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad berkata, pengecaman mayat ketiga-tiga mangsa dilakukan oleh suspek.
“Suspek membuat pengecaman dan mengesahkan mayat itu adalah isteri,34, dan dua anaknya yang berusia dua dan 10 tahun.
“Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) lima sekeluarga termasuk suspek, isteri dan tiga anaknya (termasuk seorang anak lelaki berusia lima tahun yang selamat) sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.
“Selain itu, hasil siasatan mendapati jarak anak ketiga suspek yang dibuang ke dalam longkang besar di Jalan Pegawai hanyut dibawa arus ke laut dan ditemui kira-kira 15 kilometer sebelum ditemui di Pantai Leman, Kuala Kedah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan mayat dua beranak iaitu wanita berusia 34 tahun dan anak perempuannya etnik Rohingya berusia 10 tahun dijumpai dalam longkang di belakang bangunan terbiar berhampiran Pekan Simpang Kuala, di sini, Isnin lalu.
Mayat kedua-dua beranak itu ditemui dalam keadaan tertiarap dan terbaring bersebelahan antara satu sama lain pada jam 5 petang oleh orang awam.
Manakala, mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui di kawasan Pantai Leman, Kuala Kedah jam 12 tengah hari semalam dengan kesan kelar.
Suspek ditahan polis pada jam 9 malam Isnin lalu bersama anak lelakinya berusia lima tahun di perkarangan Masjid Al Hidayah, Bukit Pinang iaitu kira-kira empat jam selepas mayat dua beranak itu ditemui.
Polis merampas sebilah parang dari suspek yang dipercayai digunakan dalam jenayah dan dia juga didapati positif tiga jenis dadah.
Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 26 Ogos untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Mayat dua wanita ditemukan dalam longkang
- Penemuan dua mayat perempuan: Dua beranak dibunuh leher dikelar, suami ditahan
- Kes bunuh 2 beranak: Warga asing ditahan reman seminggu
- Bunuh isteri, anak: Mayat ketiga dikelar bapa kandung ditemui
- Bunuh isteri, anak: Suspek sempat minta kebenaran tidur di masjid sebelum ditahan polis