Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan
PETALING JAYA: Seorang pekerja kedai makan maut selepas bungkusan yang ditemuinya meletup di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang Jaya, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian kira-kira 8.50 malam itu, mangsa lelaki yang berusia 28 tahun itu dilaporkan terjumpa sebuah bungkusan yang diletakkan di atas sebuah kereta jenis Toyota Corolla Altis.
Bagaimanapun bungkusan dalam plastik itu meletup sebaik saja mangsa memegangnya.
Akibat dari letupan itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada tubuh badan dan tangan.
“Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Ampang oleh orang awam, namun disahkan meninggal dunia lebih kurang pada jam 9.45 malam,” katanya ketika dihubungi.
Mohamad Farouk berkata, siasatan di lokasi kejadian turut menemui kesan kemik dipercayai akibat letupan pada kereta mangsa.
Tambahnya lagi, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.