comscore
Tumpuan :
Jenayah

Buli pelajar sekolah, polis Pulau Pinang siasat dakwaan wujud unsur kongsi gelap

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin dalam sidang media pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Ketua Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang di sini. – FOTO : NSTP

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan wujud unsur kongsi gelap dalam dua kejadian buli membabitkan pelajar sebuah sekolah menengah di Butterworth di sini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sekiranya siasatan itu menjurus kepada pembabitan kongsi gelap.

“Bagi kes itu memang sudah ada tangkapan serta dibebaskan dengan jaminan polis disebabkan suspek terdiri dalam kalangan pelajar.

“Kita akan lihat sama ada ia menjurus kepada kegiatan kongsi gelap di sebalik kejadian dan jika ada, tindakan akan ambil terhadap kongsi gelap di sekolah itu.

“Selain itu, kertas siasatan berhubung insiden buli ini juga akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik siasatan selesai ,” katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Ketua Polis negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Jumaat lalu, polis menahan sembilan pelajar bagi membantu siasatan kes buli yang dilapor berlaku di sekolah menengah di Butterworth.

Bagaimanapun kesemuanya telah dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama.

Lapan daripadanya masih bersekolah manakala seorang lagi sudah tidak bersekolah.

Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi dua pergaduhan berasingan di sekolah yang sama dan memaparkan seorang murid lelaki ditumbuk serta ditendang bertubi-tubi oleh beberapa murid dipercayai berlaku dalam sebuah tandas sekolah berkenaan.

Difahamkan dakwaan wujud unsur kongsi gelap tercetus selepas pihak polis menahan seorang lelaki berusia 16 tahun yang sudah tidak bersekolah dan dipercayai turut terlibat dalam insiden berkenaan.

Manakala dalam kejadian lain di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau di sini, lima pelajar Tingkatan Lima ditahan Khamis lalu bagi membantu siasatan kes buli seorang pelajar tingkatan tiga sekolah berkenaan.

Difahamkan kejadian pada jam 11 malam itu berlaku di tandas lelaki Blok B bangunan sekolah berkenaan apabila seorang pelajar Tingkatan Tiga dipukul dengan alasan lambat turun solat Subuh.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemua pelajar berkenaan bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka dirakam.

Loading...
Terkini