PETALING JAYA: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, menyelamatkan empat wanita warga Myanmar yang dieksploitasi dijadikan pelayan sebuah rumah kedai yang diubahsuai sebagai pusat hiburan dan karaoke tanpa lesen di Bandar Puchong, Puchong, pagi tadi.
Serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) D3, JSJ Bukit Aman, jam 10.40 pagi, hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sejak beberapa hari lalu.
Ketua Penolong Pengarah D3, ATIPSOM, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, kesemua wanita terbabit berusia antara 15 hingga 31 tahun termasuk seorang bawah umur dijadikan pelayan atau GRO untuk pelanggan lelaki warga asing sejak lima hari lalu.
Semua wanita yang diselamatkan itu sebelum ini dijanjikan bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan gaji RM1,500 sebulan oleh salah seorang daripada tiga suspek lelaki Myanmar yang ditahan.
Tambahnya, suspek utama bertindak memaksa empat wanita itu bekerja sebagai pelayan dan melayani setiap warga asing yang datang berhibur di pusat hiburan berkenaan.
Selain suspek utama, polis juga menahan dua pembantunya berusia antara 23 hingga 35 tahun.
Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati salah seorang mangsa berusia 26 tahun mendakwa dirogol oleh salah seorang suspek yang ditahan.
Tangkapan tiga suspek warga Myanmar ini dijalankan di bawah Akta ATIPSOM (Akta 670) mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007.