Tumpuan :
Jenayah

Budak perempuan mangsa culik dicabul, hampir dijual kepada sindiket pelacuran 

PETALING JAYA: Suspek yang menculik kanak-kanak 12 tahun di Klang 8 Oktober lalu, cuba menjualnya kepada sindiket pelacuran di Chow Kit.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan itu bagaimanapun gagal setelah pelaku menyedari polis telah mengeluarkan maklumat secara umum mengenai kehilangan budak perempuan terbabit.

“Ketua kumpulan itu telah cuba menjualnya kepada rangkaian tersebut. Ia berlaku di kawasan Chow Kit tetapi gadis itu diarahkan untuk kembali kepada enam suspek (apabila urusan gagal). Sabtu lalu (12 Oktober),” katanya.

Polis telah menahan enam suspek termasuk dua wanita susulan serbuan di Segambut Dalam, Setia Alam, dan Pandamaran setelah mangsa dilaporkan hilang.

“Mungkin semua enam suspek akan dilanjutkan reman mereka esok,” tambahnya.

Menurutnya lagi, dua daripada enam suspek, seorang budak lelaki 13 tahun dan seorang lelaki 23 tahun, juga telah menyerang mangsa secara seksual.

“Menurut mangsa, dia diberikan rokok elektronik yang mengkhayalkan sebelum dicabul. Mangsa turut didera tetapi tidak ketara,” katanya.

Mangsa dilaporkan hilang selepas turun mengambil makanan dari kereta yang diparkir di bawah kediamannya di flat dekat Bandar Bukit Tinggi 1, Klang 8 Oktober lalu.

Dia ditemukan selamat pada Sabtu (12 Oktober) dengan suspek ditahan hari yang sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini