Tumpuan :
Jenayah

Budak lelaki dipercayai didera ibu saudara

TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun mengalami kecederaan di bahagian dagu, benjol di dahi dan lebam pada punggung, selain mempunyai kesan darah beku di belakang telinga kiri dipercayai akibat didera ibu saudaranya, baru-baru ini.

Perbuatan itu terbongkar selepas doktor merawat mangsa yang dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Tawau oleh gurunya pada 10 Disember lalu, sebelum doktor bertugas membuat laporan polis susulan kecederaan mencurigakan pada mangsa.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Beliau berkata, pengadu yang juga doktor bertugas ketika itu datang ke IPD Tawau membuat laporan sebaik pemeriksaan ke atas mangsa kira-kira 3 petang mendapati kesan kecederaan pada tubuh badan mangsa disyaki akibat didera.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa adalah penuntut di sebuah sekolah agama rakyat (madrasah) dekat sini dan anak tunggal yang tinggal bersama ibu saudaranya sejak kematian Ibu, tiga tahun lalu.

“Susulan itu, suspek iaitu Ibu saudara mangsa ditahan, namun dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan lanjut dijalankan.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi.

Jasmin berkata, mangsa kini masih ditempatkan di Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini