KOTA KINABALU: Seorang penolong pegawai perubatan dan empat jururawat ditahan selepas disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu tuntutan kerja lebih masa (OT) bernilai kira-kira RM146,000.
Semua suspek yang berkhidmat di sebuah pusat kesihatan di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, kira-kira jam 9.40 pagi tadi.
Sumber berkata, semua mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
“Siasatan awal mendapati semua suspek membabitkan empat wanita dan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berhubung kerja lebih masa.
“Tuntutan palsu itu dari 2020 hingga 2021 sedangkan perkara itu tidak dilaksanakan,” katanya hari ini.
Pengarah SPRM Sabah ,Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.Sementara itu, beliau berkata, semua suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM.
“Semua mereka akan dituduh pada Khamis ini di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.