MERSING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan bersama lima kru di kedudukan tiga batu nautika di timur Pulau Tinggi pada jam 6.30 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim, Komander Maritim Suhaizan Saadin, kru termasuk tekong berusia lingkungan 35 hingga 51 tahun ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda.
Katanya, tiga daripada kru berkenaan adalah warga Myanmar dan mereka didapati tidak memiliki kelulusan bertulis atau permit kerja dari Ketua Pengarah Perikanan.
“Maritim Malaysia melalui Zon Maritim Mersing menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana menggajikan tiga warga asing Myanmar ketika sedang menjalankan rondaan OP JAKSA.
Warga Vietnam, Indonesia ditahan kaut gamat guna alat tidak dibenarkan
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat tiga kru bot warga Myanmar dan dua kru warga tempatan.
“Semua kru bot nelayan Kelas C tersebut ditahan dan disiasat disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.
“Mereka didapati menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bot serta kru ditahan bersama 600 kilogram hasil laut dan dibawa ke jeti Maritim Malaysia Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.
“Sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau sebarang kejadian kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau MERS 999 untuk tindakan segera,” katanya.