Tumpuan :
Jenayah

Berselindung di sebalik kedai landskap bunga, 4 ditahan proses dan jual air ketum

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di sidang media di Ibu Pejabat Daerah Sungai Buloh hari ini.

Oleh: Fatin Hanani Sahimi 

SUNGAI BULOH: Sindiket proses dan menjual air ketum yang berselindung di sebalik kedai landskap, ditumpaskan dalam serbuan polis di Sungai Buloh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, empat individu ditahan dalam serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di dua buah rumah di sini, 3 Oktober lalu.

Kesemua yang ditahan berumur 21 hingga 42 tahun.

Tiga suspek bekerja dengan syarikat landskap kebun bunga, manakala seorang lagi penganggur.

“Dua lelaki tempatan dan dua lelaki warganegara asing ditahan atas kesalahan memproses dan menjual air ketum sebanyak 1,100 botol anggaran isipadu 550,000 mililiter serta 41 karton rokok seludup.

“Nilai rampasan air ketum serta rokok seludup bagi kes ini berjumlah kira-kira RM20,000 dan dipercayai untuk pasaran tempatan di Sungai Buloh.

“Air ketum yang dirampas boleh dibekalkan kepada 1,100 orang pengguna,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Sungai Buloh hari ini.

Hasil risikan mendapati sindiket berkenaan telah memproses dan  menjual air ketum secara komersial bermula tahun 2021.

“Sekali mereka masak adalah untuk penggunaan antara dua hingga empat hari dan setiap botol dijual dengan harga RM5 pada waktu siang, waktu malam dijual pada harga RM10.

“Bekalan daun ketum ini diambil dari Perak dan berkemungkinan dibeli dalam jumlah 50 kilogram bersamaan 4,000 botol.

“Cara penjualannya, pembeli akan datang ke kedai tersebut mungkin ada yang menyamar sebagai pemandu p-hailing, atau ‘transporter’ yang menjual kepada ejen-ejen lain dan sebagainya,” tambahnya.

Pihaknya turut merampas 41 karton rokok seludup

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 kanun tatacara jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 135 (1) (E) Akta Kastam 1967,

Bagi kesalahan pertama boleh dihukum penjara tidak lebih 5 tahun atau denda tidak lebih RM100,000, manakala bagi kesalahan kedua boleh dikenakan denda tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM 500,000 atau penjara  tidak kurang 6 bulan dan tidak lebih 5 tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini