Tumpuan :
Jenayah

Berkhalwat dengan rakan baik suami, ibu 2 anak ditahan

FOTO: NSTP

MELAKA: Seorang wanita berusia 29 tahun ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kerana disyaki berkhalwat dengan seorang lelaki 61 tahun yang juga rakan suaminya di sebuah rumah di Semabok, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat, berkata ibu dua anak dan pasangannya ditahan dalam serbuan jam 1.05 pagi dan ketika pemeriksaan, wanita itu mengaku suaminya berusia 38 tahun tiada di rumah kerana bekerja malam sebagai pengawal keselamatan di Batu Berendam.

“Wanita itu mengaku hanya dia bersama dua anak, masing-masing berusia tiga tahun dan tiga bulan berada di rumah bersama rakan sekerja suaminya itu.

“Lelaki itu pula mendakwa sudah enam bulan menetap di situ kerana baru dapat kerja di syarikat kawalan keselamatan, tempat kerja sama dengan suami wanita terbabit,” katanya selepas menyertai Op Gelenyar bersama lima agensi di kawasan etnik Rohingya di Semabok, di sini, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman hingga mendatangkan syak.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini