SEREMBAN: Seorang penjenayah dikehendaki ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Persiaran S2/1, Seremban 2, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.30 malam, suspek seorang lelaki warga tempatan dikatakan sempat merempuh sebuah kereta peronda ketika ditahan untuk pemeriksaan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata terdahulu suspek yang berusia 38 tahun terserempak sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Bukit Aman.
“Pasukan berkenaan yang sedang melakukan rondaan pencegahan jenayah di daerah Seremban terserempak dengan sebuah kereta jenis Mercedes berwarna hitam di lokasi dalam keadaan mencurigakan.
“Polis cuba untuk menahan kenderaan itu untuk membuat pemeriksaan. Namun pemandunya dikatakan merempuh kenderaan pasukan polis,” katanya pada sidang media, hari ini.
Sejurus merempuh sebuah kereta peronda polis, suspek dikatakan secara tiba-tiba melepaskan beberapa das tembakan.
“Kedengaran beberapa das tembakan dipercayai dari kenderaan dinaiki suspek dan untuk mempertahankan diri, pasukan polis melepaskan beberapa das tembakan.
“Berlakulah berbalas tembakan sebelum dalam beberapa ketika keadaan kembali tenang dan tidak ada kedengaran bunyi tembakan lagi,” katanya.
Sambung beliau, sejurus kemudian polis membuat pemeriksaan terhadap kereta dipandu suspek dan mendapati seorang lelaki warga tempatan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Polis memanggil bantuan daripada Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) sebelum ambulans tiba dan petugas perubatan mengesahkan lelaki berkenaan sudah meninggal dunia.
Ahmad Dzaffir berkata, hasil pemeriksaan lanjut terhadap suspek, menemui sepucuk pistol jenis 9 milimeter jenama Llama bersama dua peluru yang masih hidup di dalam kenderaan.
“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai sembilan rekod membabitkan enam kes dadah dan tiga rekod jenayah selain satu masih lagi ‘wanted’ bersabit dengan kes di Pulau Pinang,” katanya.
Dalam kejadian itu seorang anggota mengalami serangan jantung akibat dirempuh suspek dan kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di HTJ.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971. Siasatan lanjut diteruskan untuk kenalpasti pembabitan suspek dalam kes jenayah di Negeri Sembilan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.editor