comscore
Tumpuan :
Jenayah

Berang ditegur buat pusingan U secara mengejut

MELAKA: Seorang lelaki yang dalam pengawasan polis (PS) bertindak ganas mencekak leher dan mengacukan pistol angin di kepala seorang mekanik dipercayai berang ditegur membuat pusingan U secara mengejut di persimpangan lampu isyarat.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku jam 12.15 tengah malam tadi di persimpangan lampu isyarat Jalan Lebuh Ayer Keroh berhadapan bangunan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Suspek berusia 29 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan dengan bantuan orang awam selepas mangsa (pengadu) melawan dan berjaya merampas pistol daripadanya.

“Siasatan mendapati ketika kejadian mangsa berusia 24 tahun menunggang motosikal Yamaha NVX dari Ayer Keroh menghala ke bandar Melaka dan meneruskan perjalanan apabila lampu isyarat MBMB Jalan Lebuh Ayer Keroh bertukar warna hijau.

“Secara tiba-tiba muncul Perodua Myvi dari bandar Melaka membuat pusingan U, namun mangsa sempat brek dan mengelak terlanggar kereta itu sebelum memberi isyarat hon dan menjerit kepada pemandunya.

“Mangsa berhenti di tepi jalan di hadapan Melaka Mall selepas diarah oleh suspek sebelum pergi menemuinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semakan rekod mendapati suspek mempunyai beberapa rekod dadah dan sedang menjalani PS di Balai Polis Bukit Baru bermula 1 November 2021 hingga 1 November depan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

“Pistol angin jenama Wingun Patent Super Sport 702 Cal. 6mm BB No. Siri 14f76026 berserta enam peluru jenama Wingun 700 serta satu bungkusan lut sinar mengandungi manik plastik warna hijau dan telefon bimbit dirampas daripada suspek.’’

Suspek direman enam hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960.

Loading...
Terkini