comscore
Tumpuan :
Jenayah

Beli diesel di kandang lembu

Penguatkuasa KPDN Perlis memeriksa bekalan diesel yang cuba diseleweng oleh sindiket penyeludupan ke Thailand dengan menjadikan sebuah kandang lembu di Padang Besar sebagai stor penyeludupan. FOTO: Ihsan KPDN Perlis

KANGAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis membongkar satu sindiket penyelewengan diesel ke Thailand selepas menyerbu sebuah stor haram dalam sebuah kandang lembu di Padang Besar semalam.

Tiga orang suspek termasuk dua warga Thailand ditangkap.

Pengarah KPDN Perlis, Norazah Jaapar berkata serbuan dilakukan sekitar jam 8 pagi hasil risikan oleh anggotanya sejak beberapa minggu lalu.

“Dalam serbuan berkenaan, kita berjaya menjumpai 330 liter diesel yang disimpan di dalam empat tong drum yang dirampas,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Norazah, hasil siasatan awal mendapati lelaki tempatan terbabit, usia 40-an mengaku sebagai orang yang bertanggungjawab ke atas stor berkenaan.

Katanya, dalam operasi itu, pihaknya turut merampas dua kenderaan pikap bernombor pendaftaran Thailand yang dipercayai digunakan untuk menyeludup keluar diesel berkenaan.

Pemeriksaan awal mendapati kedua-dua pikap itu dinaiki oleh dua lelaki warganegara Thailand dan mempunyai tangki tambahan padanya.

Jelas Norazah, pihaknya percaya kedua-dua pemandu warga Thailand itu pergi ke situ untuk membeli diesel dari stor berkenaan.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM82,195.50.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi syarikat yang terbabit pula boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.

Selain itu, siasatan juga boleh dilakukan mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2011 bagi mana-mana orang yang melakukan kesalahan mengikut AKB 1961.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini