comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bekas setiausaha kerugian lebih RM80,000, terpedaya pelaburan tidak wujud

Foto hiasan

JASIN: Hasrat seorang wanita meraih pulangan lumayan tidak kesampaian apabila wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya berjumlah lebih RM80,000 lesap selepas melabur dalam pelaburan tidak wujud atas talian.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, mangsa berusia 50 tahun itu mula melabur dalam skim pelaburan diiklankan di Facebook itu, sejak Julai lalu.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, mangsa tertarik menyertai pelaburan selepas melayari Facebook sebelum menekan pautan diberikan sindiket dan disambungkan ke aplikasi WhatsApp.

“Suspek kemudian menerangkan kepada mangsa berhubung pakej pelaburan yang ditawarkan, serta memintanya membayar duit pendaftaran pelaburan sebanyak RM1,235.

“Dengan bayaran itu, mangsa ditawarkan satu pakej pelaburan dan menerima pulangan keuntungan kali pertama sebanyak RM8,000, namun ia tidak dapat dikeluarkan.

“Teruja dengan pulangan dalam masa singkat, mangsa yang juga bekas setiausaha syarikat swasta berhasrat untuk menambah jumlah pelaburan bagi mendapatkan keuntungan yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Jamil, siasatan mendapati, mangsa mengeluarkan simpanan KWSP sejak Julai lalu, dan membuat beberapa transaksi kemasukan wang secara berperingkat ke dalam lima akaun bank milik individu berbeza.

“Jumlah keseluruhan wang dibayar adalah RM82,175, namun, mangsa berasa tertipu apabila gagal membuat pengeluaran keuntungan yang dipaparkan.

“Malah, dia turut diarahkan lagi untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM20,000 kononnya sebagai cukai pengeluaran wang.

“Berikutan itu, membuat laporan di Balai Polis Jasin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini