comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bekas polis diburu, hadapi kes rogol 15 tahun lalu

FOTO: NSTP

KUCHING: Bekas anggota polis berpangkat Koperal terus diburu apabila dia menghilangkan diri selepas menghadapi empat pertuduhan kes serangan seksual di Gita, di sini, 15 tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, berkata Juwanda Ranu Suut, menghadapi satu pertuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan tiga lagi mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

Menurutnya, berikutan hilang tanpa dikesan, anggota terbabit diberhentikan daripada perkhidmatan polis pada 29 Ogos 2013.

Ahsmon berkata, Juwanda antara 55 individu termasuk seorang warga asing yang dalam buruan polis Kuching atas pelbagai kesalahan jenayah, narkotik serta komersil.

Menurutnya, salah seorang yang diburu itu menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh pada tahun 2011.

Orang dikehendaki itu dikenali sebagai Flether Eddie, 43, yang alamat terakhirnya di Kampung Sebiris, Lundu.

Sementara itu, Ahsmon berkata, dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 112 kes pecah rumah dan curi dilaporkan di Kuching.

“Ia menunjukkan peningkatan 61 kes atau 119.61 peratus berbanding 51 kes yang berlaku dalam tempoh yang sama pada 2023.

“Kes pecah rumah dan curi itu menyebabkan kerugian kira-kira RM345,435 dan 32 suspek sudah ditahan dalam tempoh enam bulan itu dengan 14 daripadanya sudah dituduh sekali gus membawa kepada penyelesaian 37 kes,” katanya.

Dalam kes jenayah narkotik pula, Ahsmon berkata, seramai 1,172 individu ditahan sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

“Sebanyak 1,146 kertas siasatan dibuka dan 952 kertas siasatan membabitkan 963 tangkapan sudah didakwa di mahkamah.

“Bagi kesalahan dadah berulang, seramai 28 individu sudah dituduh mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Bagi jenayah komersil pula, Ahsmon berkata, dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 49 kertas siasatan kes penipuan e-Dagang dibuka yang membabitkan kerugian sebanyak RM450,000.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini