comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bekas eksekutif kanan disyaki minta, terima RM370,000 rasuah

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seorang bekas eksekutif kanan sebuah syarikat berkaitan petroleum dan gas direman kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM370,000 sebagai balasan bagi mendapatkan kontrak untuk melantik konsultan bagi syarikat berkenaan.

Perintah reman selama empat hari sehingga Jumaat ini telah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 5.30 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

“Siasatan awal mendapati suspek pada ketika itu yang bertugas sebagai eksekutif kanan di sebuah syarikat berkaitan petroleum dan gas dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada empat individu terbabit bagi membolehkan mereka dilantik sebagai konsultan pakar geologi untuk kerja-kerja di syarikat tersebut.

“Kesemua individu terbabit dibayar antara RM750 hingga RM2,100 sehari bergantung kepada kadar bayaran konsultan pakar geologi dan tawaran yang diputuskan oleh syarikat suspek,” katanya.

Sumber berkata, suspek disyaki menerima wang rasuah melalui transaksi pindahan ke akaun bank milik suspek daripada akaun bank keempat-empat individu tersebut yang berjumlah antara RM150 hingga RM500 sehari.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini