comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bekas banduan tak serik curi wang tabung masjid direman 4 hari

Foto hiasan

MACHANG: Seorang bekas banduan dicekup polis kerana disyaki mencuri wang tabung sebuah masjid di daerah ini.

Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang yang menyerbu rumahnya di Kampung Tandak, Pangkal Meleret, semalam.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata polis turut merampas barang kes, iaitu satu tukul besi dan pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian baru-baru ini.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek dibebaskan dari penjara pada awal 2022 atas kesalahan yang sama dan disyaki kembali aktif melakukan kes curi wang tabung masjid di sekitar daerah Machang.

“Sebanyak empat laporan polis sudah diterima dan ia dalam tindakan pihak kami,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Pada masa sama, suspek juga mempunyai enam rekod berkaitan jenayah dan dadah. Dia kini ditahan reman empat hari bermula semalam sehingga 13 Mei untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Loading...
Terkini