Tumpuan :
Jenayah

Bayi perempuan masih bernyawa disumbat dalam beg plastik, dibuang dalam tong sampah

Bayi perempuan ditemui masih bernyawa dalam tong sampah dekat Flat Langkawi, Pantai Emas, Klebang, Melaka pada malam Rabu lalu. Foto ihsan IPD Melaka Tengah.

KLEBANG: Bayi perempuan bertali pusat seberat 2.2 kilogram (kg) ditemui dibuang di dalam tong sampah berhampiran Flat Langkawi, Pantai Emas, dekat sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata bayi berkenaan ditemui seorang pesara kerajaan (pengadu) selepas dimaklumkan anak lelakinya yang terdengar bunyi tangisan dari dalam tong sampah berkenaan berhampiran rumah mereka di Jalan Pantai Emas, Taman Pantai Emas, di sini sekitar jam 10.30 malam.

Artikel berkaitan: Bayi baharu lahir dibuang di hadapan kilang makanan laut

Menurutnya, sebaik memeriksa pengadu berusia 50 tahun itu terdengar bunyi tangisan bayi disyaki baharu dilahirkan dari sebuah beg plastik berwarna putih di dalam tong sampah itu.

“Pengadu kemudian mengambil beg itu dan terus membawanya ke Balai Polis Simpang Tiga kerana disyaki terdapat bayi di dalamnya,” katanya.

Siasatan mendapati bayi itu dibungkus dengan kain tebal berwarna coklat dan bayi dalam keadaan menangis serta masih beruri.

Kakitangan perubatan Hospital Melaka (HM) yang segera tiba sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu telah memeriksa bayi itu dan memotong tali pusat serta membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Artikel berkaitan: Bayi lelaki masih bertali pusat dibuang tepi jalan

Christopher berkata doktor mengesahkan bayi berkenaan yang ditempatkan di Wad Nursery Penjagaan Rapi HM berada dalam keadaan sihat.

Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

Orang ramai yang ada maklumat berhubung perkara ini diminta menghubungi pihak polis.

Loading...
Terkini