Oleh Syafiqah Damanhuri
PETALING JAYA: Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan didakwa meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuh di Seksyen 17, di Shah Alam, 19 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Iqbal Ibrahim berkata, bayi berkenaan disahkan meninggal dunia di Hospital Shah Alam, pada 22 Ogos lalu, selepas 4 hari menerima rawatan.
Katanya, pihak polis menerima laporan mengenai insiden berkenaan daripada bapa mangsa yang berusia 33 tahun, kira-kira 8 malam pada 19 Ogos.
Menurutnya, pada hari kejadian, ibu bapa mangsa ke rumah pengasuh kira-kira 4 petang selepas dimaklumkan anak mereka tidak sedarkan diri.
“Hasil pemeriksaan di sebuah hospital swasta di Shah Alam mendapati ada kesan lebam di dahi dan disyaki berlaku pendarahan di otak.”
“Bayi itu yang merupakan anak tunggal pasangan berkenaan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Shah Alam dan bedah siasat sudah dijalankan pada 23 Ogos dengan keputusan ‘pending laboratory investigation,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengasuh adalah wanita warga tempatan berusia 36 tahun serta sedang mengandung lima bulan.
Katanya, wanita itu didapati menjaga lapan kanak-kanak berusia antara tiga bulan hingga 4 tahun di kediamannya secara bersendirian.
Setakat ini, wanita berkenaan belum ditahan kerana siasatan lanjut masih dijalankan.
Kes diklasifikasikan mengikut seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
Sebarang maklumat lanjut berhubung kes ini, boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes Insp Roshaza ditalian 011-39865668.