comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bayi lelaki ditemukan dalam semak

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

DUNGUN: Seorang bayi lelaki ditemukan di dalam semak okeh seorang pemandu lori berhampiran Pantai Petak, Paka, kira-kira pukul 2.00 petang tadi.

Pemandu tersebut, Mohd Zoo Abd Rahman, 44 tahun, berkata bayi yang sudah dipotong tali pusat itu ditemui tanpa seurat benang dalam keadaan kesejukan dan hanya dialas dengan sehelai kain lusuh di dalam sebuah beg.

Menurutnya, ketika kejadian dia yang baru selesai mengambil kayu palet di sebuah kilang, berhenti di tepi pantai itu untuk berehat.

“Pada awalnya saya melihat dua ekor anak anjing sedang berkeliaran, namun tiba-tiba saya terdengar bunyi tangisan bayi sebelum ternampak sebuah beg berhampiran anjing tersebut.

“Bayi itu hanya menangis sekejap sahaja namun tangisannya agak jelas lalu saya bergegas memanggil beberapa orang pengunjung di pantai itu untuk memeriksa beg tersebut sebelum melihat bayi itu sedang meringkuk kesejukan,” katanya.

Mohd Zoo kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa sebelum pasukan polis dan kesihatan tiba di lokasi kejadian untuk menyelamatkan bayi itu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizurek Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan bayi tersebut.

Menurut Superintenden Maizura, bayi itu kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Paka sebelum dihantar ke wad kanak – kanak Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, usaha untuk mengesan ibu kepada bayi tersebut kini sedang giat dijalankan dan kes akan disiasat di bawah seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini