comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bayi ditingalkan dalam kotak di luar pusat tahfiz

BESUT: Tangisan seorang bayi menyelamatkan nyawanya apabila ditemui dalam sebuah kotak berdekatan pusat tahfiz di Kampung Batu Tumboh, Kampung Raja, di sini hari ini.

Bayi lelaki yang cukup sifat itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh 48 jam dengan berat 2.6 kilogram.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan penemuan bayi itu pada 9.20 pagi.

Katanya, lelaki itu mendakwa mendengar bunyi tangisan bayi ketika sedang mengecat di dalam pusat tahfiz itu pada 8 pagi.

“Dia kemudiannya mencari arah bunyi itu dan menjumpai bayi lelaki yang diletakkan dalam kotak plastik berwarna merah di atas wakaf di luar pagar pusat tahfiz.

“Dia kemudian terus menghubungi polis setelah tidak melihat sesiapa yang meletakkan bayi itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati pusat tahfiz itu menempatkan pelajar lelaki dan wakaf yang menjadi lokasi penemuan berada di tepi jalan utama serta tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Menurutnya, bayi malang itu dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.

“Pihak hospital memaklumkan tali pusat bayi itu masih belum dipotong, tetapi hanya disimpulkan serta terdapat jangkitan kuman,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah dimaklum mengenai penemuan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini