Tumpuan :
Jenayah

Banduan lari dari Pusat Koreksional Jasin diburu

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Polis memburu seorang banduan lelaki yang dipercayai melarikan diri dari Pusat Koreksional Jabatan Penjara Malaysia, Lipat Kajang, Jasin di sini petang tadi.

Kehilangan banduan tempatan berusia 44 tahun itu, disedari pegawai bertugas di pusat tahanan tersebut pada jam 2.20 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, banduan terbabit adalah tahanan kes samun dan sedang menjalani Program Reintegrasi Penghuni Jabatan Penjara Malaysia di pusat tahanan itu.

“Laporan kehilangan banduan itu diterima polis pada jam 7.03 malam tadi oleh pengadu yang menyedari kehilangan suspek ketika dia berada di Pejabat Pegawai Yang Bertugas (PYB) giliran awal Pusat Koreksional Jasin.

“Pakaian terakhir yang digunakan lelaki itu ialah baju banduan berwarna hijau serta memakai selipar,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Menurut Mohd Fadzli, sebaik sahaja menerima laporan, pihak polis segera menggerakkan pasukan bagi membantu mengesan saspek.

“Operasi mencari banduan terbabit sedang giat dilakukan termasuk melakukan siasatan berhubung kejadian ini,” katanya.

Kes berkenaan ujarnya, disiasat mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi balai polis berhampiran.

Loading...
Terkini