BEAUFORT: Kerana cemburu dan gagal menahan marah, seorang lelaki bertindak membakar sebuah kereta milik individu yang disyaki ada hubungan sulit dengan isterinya.
Kejadian berlaku Sabtu lalu dan padahnya dia kemudian ditangkap pada hari yang sama.
Mengikut siasatan awal, dia datang ke rumah mangsa yang juga pengadu dalam kes berkenaan di Membakut di sini, sebelum membuka pintu hadapan kereta jenis Toyota Altis milik mangsa dan membakarnya.
Dia kemudian terus meninggalkan lokasi kejadian dalam keadaan tergesa-gesa.
Kelibat suspek dan perbuatannya dilihat abang ipar mangsa, sebelum dia datang memeriksa dan mendapati bahagian dalam kereta mangsa terbakar.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Ismail Abdullah berkata hasil pemeriksaan ke atas kereta mangsa didapati bahagian kerusi hadapan sebelah pemandu, tali pinggang, stering, dashboard dan lapis bumbung terbakar.
Mangsa mengalami kerugian RM20,000.
Tambah Ismail, suspek umur lingkungan 30-an ditangkap jam 6.30 petang susulan laporan yang diterima daripada mangsa.
Katanya, berdasarkan temubual awal, suspek mengaku membakar dan menyembur kereta mangsa menggunakan cat hitam.
“Perbuatan itu dilakukan disebabkan suspek cemburu dan dendam kerana mendakwa mangsa ada hubungan sulit dengan isteri suspek,” katanya.
Ismail berkata suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 21 April.
Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.