comscore
Tumpuan :
Jenayah

APMM Johor tahan kapal dagang asing,  temui peluru meriam zaman perang dunia kedua

Oleh Zahir Senapiah

KOTA TINGGI : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tanjung Sedili menahan sebuah kapal pengangkut kerana bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 20.1 batu nautika timur Tanjung Siang tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal pengangkut berdaftar dari Fuzhou, China itu ditahan  jam 12.45 tengah hari kerana gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia ketika diperiksa oleh bot peronda APMM.

Hasil pemeriksaan, kapal yang dikendalikan 32 kru lelaki termasuk nakhoda melibatkan 21 warga China, 10 warga Bangladesh dan seorang warga tempatan berusia di antara 23 hingga 57 tahun menemui besi buruk dan  peluru meriam disyaki mempunyai kaitan dengan kes penemuan Unexploded Ordnance (UXO) di Tanjung Belungkor, 19 Mei lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM 100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Maritim Malaysia akan bekerjasama dengan  Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Laut dan Jabatan Warisan Negara untuk mengenal pasti peluru yang dijumpai di atas kapal yang disyaki  dari zaman perang dunia kedua.

Loading...
Terkini