PONTIAN: Seorang lelaki berusia 49 tahun mengalami kerugian sebanyak RM721,226.99 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket yang menawarkan kerja sambilan dalam talian dengan komisen tinggi.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib, berkata mangsa berkenalan dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Dona’ melalui laman TikTok pada penghujung Disember lalu.
“Mangsa ditawarkan kerja sambilan dengan kadar komisen sehingga 25 peratus berdasarkan jumlah tugasan yang berjaya diselesaikan,” katanya.
Suspek mendakwa mangsa layak memperoleh komisen lebih RM1.3 juta, tetapi untuk mengeluarkan wang tersebut, mangsa diminta membayar cukai sebanyak enam peratus daripada jumlah komisen. Terpedaya dengan tawaran tersebut, mangsa membuat 101 transaksi pembayaran ke beberapa akaun berbeza antara penghujung Disember lalu hingga awal bulan ini, dengan jumlah keseluruhan RM721,226.99.
Namun, mangsa tidak menerima sebarang wang komisen yang dijanjikan. Merasa dirinya tertipu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.