comscore
Tumpuan :
Jenayah

Angkara Macau Scam, Pesara Kerajaan hilang RM1.34 juta

MUAR: Seorang pesara perkhidmatan awam berputih mata apabila wang simpanan berjumlah RM1.34 juta miliknya lesap selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah, berkata wanita berusia 74 tahun itu mendakwa dihubungi anggota sindiket berkenaan yang memperkenalkan diri sebagai petugas perkhidmatan pos dan anggota polis.

“Mei lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai perkhidmatan pos.

“Suspek mendakwa ada penghantaran atas mangsa mengandungi kad pengenalan, kad bank dan buku cek milik orang lain yang menyalahi undang-undang.

“Panggilan kemudiannya disambungkan kepada suspek lain yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Aidil berkata, suspek didakwa menakutkan wanita itu dengan menyatakan mangsa terbabit dengan jenayah penipuan dan kegiatan haram.

“Mangsa diarah memberi butiran peribadi termasuk akses perbankan dalam talian akaun miliknya atas alasan untuk diaudit.

“Takut dikenakan tindakan, mangsa mengikut segala arahan diberi dan suspek turut mengarahkan wanita itu memindahkan wang simpanannya dan wang tunai ke dua akaun yang didedahkan atas alasan sama,” katanya.

Kelmarin, katanya, mangsa membuat semakan di kedua-dua akaun miliknya dan mendapati wang berjumlah RM1,342,459.70 dipindahkan tanpa pengetahuannya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati nombor telefon digunakan suspek pernah dilapor dengan beberapa kes lain tahun ini manakala kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.—BERITA HARIAN

Loading...
Terkini