JOHOR BAHRU: Seorang penghantar barang kerugian lebih RM60,000 selepas menjadi mangsa penipuan cinta maya (love scam) selepas berkenalan dengan wanita yang dikenali menerusi aplikasi WeChat dalam tempoh 20 hari.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata mangsa lelaki tempatan berusia 28 tahun mendakwa kejadian berlaku pada awal Ogos lalu, bermula selepas mangsa berkenalan dengan suspek yang dipercayainya wanita warga tempatan.
Katanya, selepas kira-kira 20 hari berkenalan, suspek meminta bantuan kewangan kononnya untuk membiayai kos perubatan ibunya yang sakit.
“Suspek mengugut akan memutuskan hubungan sekiranya mangsa gagal membantu. Terpedaya dengan pujukan itu, mangsa membuat 16 kali pindahan wang ke satu akaun bank antara 25 Ogos hingga 16 November 2024 dengan nilai keseluruhan RM63,826.
“Mangsa meminta untuk bertemu suspek dan keluarganya, namun suspek tidak melayan permintaan mangsa dan terus memberi pelbagai alasan untuk mengelak pertemuan tersebut.
“Mangsa mula curiga dan membuat carian menggunakan Google Image pada profil WeChat suspek. Hasilnya, dia mendapati gambar tersebut adalah milik seorang pelakon terkenal dari Hong Kong,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.