Tumpuan :
Jenayah

Angkara cemburu, kenalan wanita dibunuh di dalam bilik hotel

KUALA LUMPUR: Cemburu dikenal pasti sebagai motif pembunuhan seorang wanita warga Indonesia berusia 39 tahun yang mayatnya ditemui berlumuran darah dalam bilik sebuah hotel bajet di Taman Mawar, Puchong, pada 31 Disember lalu.

Suspek utama, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 23 tahun, ditahan oleh pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang bersama Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontinjen Selangor, pada jam 4.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, berkata siasatan mendapati suspek bekerja sebagai buruh binaan di Presint 20, Putrajaya.

“Hasil siasatan awal menunjukkan suspek mengenali mangsa dan mengaku membunuh wanita itu kerana cemburu. Suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian 31 Disember lalu, mayat mangsa ditemui pada jam 10.15 malam di dalam bilik hotel tersebut. Dua lelaki warga asing, masing-masing berusia 39 tahun, turut ditahan di Bukit Puchong pada jam 3 pagi Rabu lalu bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini